Warkah Terakhir

'Ada dua alasan mengapa seseorang berubah'. Tutur si ayah kepada anaknya yang ralit menguis deburan pasir sambil menunggu teksi untuk pulang ke asrama. Aku mengangkat wajah memandang papa. 'Iaitu mereka yang telah banyak mengajar dan mereka yang sudah mengalami begitu banyak penderitaan. Kebahagiaan tidak tergantung pada keadaan mata, tetapi keadaan hati'. Sambung papa. Aku mengerut dahi. Apakah mesej sebenarmu wahai ayah?


Petang itu, papa menghantar aku ke hentian teksi untuk pulang ke asrama. Aku meletakkan beg pakaian di atas basikal tua milik papa. Berjalan beriringan dengan papa yang uzur keadaannya setelah mengalami penyakit angin ahmar (stroke) 3 tahun lalu. Namun, kekuatan dan kesabaran papa dapat 'melawan' penyakitnya. Dalam perjalanan aku hanya berdoa semoga setiap langkah aku menimba ilmu dapat manfaatnya suatu hari kelak. Mudah-mudahan aku dapat balas setiap jasa dan pengorbanan ibu bapa aku sebelum mereka diseru Illahi. Sebak!

Sementara menunggu teksi, papa nasihatkan aku supaya belajar bersungguh-sungguh. Suara seribu harapan itu memberi sejuta semangat. 'Biarpun papa tiada tenaga untuk beri yang terbaik untuk anak-anak, papa harap itu bukan alasan untuk Kak Neng. Jangan pandang orang dengan wang ringgit. Pandanglah mereka dengan ilmu dan keikhlasan'. Aku hanya menjadi pendengar setia.

Sebelum kaki aku melangkah masuk ke perut teksi aku bersalaman dan cium pipi papa. Papa memeluk aku sambil bisik sesuatu. 'Orang yang selalu mendekatkan dirinya pada Tuhan, tidak akan mudah merasa tertekan. Buat yang terbaik untuk SPM'. Hati aku bertambah sebak.

Keesokannya, abang datang dan menghulur sekeping surat beserta barang yang dikirim mama. Sampai di asrama, aku mengeluarkan sampul putih dan baca kandungannya. Surat dari papa!

Kehadapan anakandaku,
Beserta surat ini bonda kirimkan bekal makanan kegemaran anakanda. Hanya ini yang mampu mengubati rindu anakanda terhadap bonda dan ayahanda. Semoga anakanda sihat di sana.

Ayahanda.

Surat dilipat kemas dan disimpan di dalam almari sambil tersenyum. Kemas. 'Alahai,. Dapat surat dari boyfriend ke? Bukan main panjang lagi senyum ya.' Tegur Fathiah. Rakan sebilik aku. 'Papa aku'. Balas aku pendek sambil menghulur surat. Fathiah menyambut dengan rasa ingin tahu. Memang aku tidak nafikan jika teman aku hairan dengan 'kehadiran' surat yang aku terima selama 3 tahun semenjak aku ditempatkan di asrama. 'Oh, kiranya selama nih surat-surat tu semua kiriman papa kau lah ya?'. Soal lagi. Aku hanya mampu mengangguk. 'Wah! Romantiknya papa kau neng!'.

Minggu depam akan bermulanya cuti penggal sekolah. Namun, papa melarang aku pulang ke kampung. Katanya aku tidak akan belajar jika berada di rumah. Ralit melayan karenah adik-adik. Lagi 10 hari aku akan 'berperang'. Alat tulis menjadi senjata dan ilmu pula memainkan peranan untuk mengatur strategi. Aku terpaksa akur dan tinggal di asrama selama seminggu. Kadang-kadang hati memberontak bila abang aku dapat pulang ke kampung. 'Abang kena jaga adik-adik. Kena jaga papa bila nak ke mana-mana'. Pujuk mama. Pagi esoknya, entah kenapa badan aku berasa malas untuk melakukan sesuatu. Separuh hari aku baring di tilam asrama. Tiba-tiba nama aku dipanggil. 'Aneng, abang kau nak jumpa'. Aku bingkas bangun dan menuruni anak tangga dengan malas.

Ku lihat wajah abang tidak bermaya. Seperti kehilangan kekasih hati. Abang menyuruh aku membonceng motosikalnya. Aku tidak banyak soal. Pelbagai persoalam mula timbul apabila abang masuk ke simpang rumah. Kebiasaannya, papa akan maklumkan terlebih dahulu bila abang akan datang menjemput.

Sayup-sayup kedengaran Surah Yasin dibaca. Langkahku terhenti pabila melihat sekujur tubuh terlantar di atas lantai bahagian tengah ruang tamu. Kaki ku saat itu seolah-olah tidak mampu menampung berat badan. Longlai. Kak Long cuba memapah aku. Aku cuba kuatkan semangat dan diri untuk melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Aku bersimpuh di tepi abang dan mula sedekahkan al-Fatihah dan Surah Yasin. Kedengaran deruan enjin pacuan empat roda milik abang ipar di perkarangan rumah. Melihat adik bongsu yang kesedihan membuatkan kami terasa lebih kehilangannya. Bersabarlah wahai adik. Setiap yang hidup pasti akan pergi jua.

Ku tatap wajah papa buat kali terakhir. Papa seolah-olah mampu tersenyum buat kali terakhir meskipun diri sudah tiada daya. Sekujur tubuh itu memberi 'nafas' baru kepada aku. Selepas tahlil, kami anak beranak berkumpul di ruang tamu. Mata mama masih bergenang dengan mutiara jernih. Kata mama, kami lah penyeri hidup selepas arwah. Adik bongsu memeluk bahu mama. Sebak.

Aku masih dapat menghidu 'kehadiran' papa walaupun sudah seminggu pemergiannya. Kata abang, 'papa' akan pulang ke rumah untuk jenguk isteri dan anak-anaknya. Pesan abang jangan jadi budak nakal lagi. Nanti 'papa' marah. Aku terkedu. 'Nanti jangan lupa sedekahkan doa. Kesian papa nanti tanggung dosa anak-anaknya'. Hati bertambah sedih. Aku meluru masuk ke kamar. Ku tatap setiap rangkai surat papa. Ku renung gambar-gambarnya. Hasrat terakhirnya akan ku sahut. Aku janji!




komen

5 pucuk surat:

keri ikhwan

ni kisah hidup aneng ke?
ada bakat menulis ni. tulisan ni ada "jiwa".

aneng hitchies

yup . heee . xde lah berbakat . cuma luah apa yang ada di hati

Anonymous

Hm sedhnye...adik kuatkn smgt k...ape yg pntg dmna kte brada kite kene tahu jati dr kita...

Niena Taqushiro

nok nangis ase.. :'(

aneng hitchies

Jgn lah nangis niena . T akak pn turut menangis :)

 

Followers