Gambar dirakam oleh Abdullahjones, 18 Jun 2011
Bersua dengan Mokhtar Ishak, 72 baru-baru ini di Lebuh Seni Kuala Lumpur yang
diadakan di Dataran Merdeka, 18 Jun 2011. Mokhtar Ishak anak kelahiran Kelantan
pernah menjadi guru, amat menekuni bidang seni lukis yang diminatinya.
Semenjak dari zaman mudanya banyak masa dan wang dihabiskan untuk melukis
dan membeli peralatan melukis. Beliau telah melukis di lapangan (outdoor) semasa
zaman persekolahan lagi. Medium yang paling secocok dengannya ialah cat air.
Baginya catan air mudah diguna pada bila-bila masa tidak kira siang, pagi, petang atau malam. Menceritakan zaman mudanya, beliau pernah berkarya secara ‘live’ dilokasi pilihan dengan menggunakan motosikal. Bermakna saiz kertas lukisan serta peralatan melukis mestilah kecil dan ringan, boleh dimasukkan ke dalam beg sandang.
Dalam pertemuan saya dengan beliau sebelum ini di
Program Lakar Seni Endau Rompin 2010, dan Tampannya Budi 2009,
saya diajak berkali-kali ke rumahnya untuk melihat lukisan-lukisannya.
Menurut beliau, dirumahnya penuh dengan lukisan-lukisan yang sudah lama dipamerkan . Namun sehingga kini saya tiada peluang lagi untuk menjenguk rumah beliau.
Harap suatu hari nanti dapat berbuat demikian.
Beliau pernah teraniaya apabila karyanya yang diambil oleh orang tengah
dalam jumlah yang banyak tetapi tidak terjual, malah dirampas oleh pihak
hotel kerana orang tengah tersebut tidak mampu membayar hutang sewa bulanan.
Kedai disita, perkakas dirampas termasuklah karya lukisannya yang bernilai ribuan ringgit.
Berkat istiqamah dan kesungguhan dalam bidang seni lukis ,
akhir-akhir ini karyanya telah mula diintai oleh kolektor.
Ada yang mula datang kerumah untuk memilih dan membeli langsung dari beliau.
Bukan seorang, tetapi dua tiga orang kolektor telah mula mendatangi beliau,
untuk mendapatkan lukisannya, malah menempah mengikut kehendak kolektor
tersebut sambil menunjukkan gambar sebuah lukisan cat air yang sedang dilukis yang menggambarkan suasana kampung tepi sawah dengan beberapa orang anak dara
sedang mandi berkemban diperigi. Di latar belakang terdapat sebuah rumah kayu bercirikan binaan rumah orang Kelantan.
Ahli PESENI (Persatuan Seni Lukis Kelantan) ini amat aktif dengan kegiatan persatuan dan berpendapat persatuan seni lukis setiap negeri mesti dihidup aktifkan dari masa ke semasa.
Ini kerana dalam persatuan ahli boleh menyampaikan idea dan cadangan serta menggembeling tenaga menjayakan aktiviti seni lukis. Kefahaman masyarakat terhadap seni lukis mesti dipertingkatkan dari masa ke semasa. Pelukis pula jangan jemu berkarya kerana
bakat yang dikurniakan oleh Allah SWT tidak boleh dipersiakan.
Beliau menceritakan pengalaman agak menyedihkan apabila karya lukisan sejarahnya
tentang pencerobohan Jepun di Tanah Melayu yang bermula dari Kelantan dipertikaikan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam sebuah agensi kerajaan.
Lukisan yang telah siap itu ditolak hanya kerana rupa pantai tidak sama dengan dengan pantai asal. Bagi Mokhtar alasan yang digunakan oleh pengarah tersebut amat dangkal.
Sepatutnya beliau dipanggil untuk menerangkan perihal lukisan tersebut.
Sehingga kini lukisan tersebut masih dalam simpanan dan tidak dijual
walaupun ada orang yang berminat memilikinya. Disebalik lukisan tersebut ada kisah hati yang terluka seorang seniman.
Dalam usia 72 ini tidak terlihat langsung bahawa Mokhtar Ishak
akan berhenti dari melukis. Bahkan semakin hari semakin giat beliau berkarya.
Saya amat kagum semasa bersama dengannya di Lakar Seni Endau Rompin pada Mac 2010. Dicelah-celah katil dalam bilik penginapannya beliau terus menerus berkarya tanpa henti.
Tidak kira siang atau malam. Berhenti ketika makan dan solat sahaja.
Ketika aktiviti luar, beliau tekun melukis bahkan ketika di dalam bot yang
sedang bergerak menelusuri sungai.
Bagi Mokhtar Ishak kerja-kerja melukis telah menjadi darah daging dan tak
akan berhenti selagi nyawa dikandung badan. “ Ranjau berduri dunia seni lukis
telah diharungi selama berpuluh tahun, takkan hendak berhenti apabila hampir sampai matlamatnya… tinggal sedikit sahaja lagi” ujarnya mengakhiri perbualan santai kami
di Lebuh Seni, Dataran Merdeka.
“Masa Mokhtar Ishak telah sampai kini”, kata rakan PESENInya En Shukri
0 pucuk surat:
Post a Comment